Skip to main content

VARIAN OMICRON

Gambar hiasan: virus@unsplash

 

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan varian baharu COVID-19 Omicron telah dikesan di 23 negara dan dijangka terus meningkat.

Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, WHO memandang serius kemunculan varian itu dan menggesa setiap negara untuk berbuat perkara yang sama.

“Kemunculan varian Omicron telah menarik perhatian global. Sekurang-kurangnya 23 negara di lima daripada enam wilayah WHO kini telah melaporkan kes Omicron dan kami menjangkakan jumlah itu akan meningkat.

“WHO sangat mengambil serius perkembangan ini dan begitu juga sepatutnya setiap negara, tetapi ia tidak sepatutnya mengejutkan kita,” katanya di Geneva pada Rabu.

Kenyataan itu dibuat selepas agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengkategorikan Omicron sebagai varian membimbangkan selepas didedahkan penyelidik di Afrika Selatan minggu lalu. WHO juga berkata, larangan perjalanan akan memberi kesan kepada kerjasama global terhadap varian Omicron baharu.

Ini katanya menyebabkan “cabaran” kepada perkongsian sampel makmal dari Afrika Selatan yang boleh membantu mendapatkan maklumat yang lebih baik pada varian baharu itu.

Banyak negara bertindak balas dengan menangguhkan penerbangan dari tujuh negara Afrika Selatan. Dr Tedros menggesa campur tangan “disesuaikan” oleh negara-negara, termasuk menguji pelancong sebelum dan selepas mereka tiba di sesebuah negara. Beliau turut memberi menasihat, larangan perjalanan “akan membebankan kehidupan dan mata pencarian.”

Sementara itu, Ketua Teknikal WHO Mengenai COVID-19, Maria Van Kerkhove berkata, kerjasama antarabangsa berterusan dan penyelidik di Afrika Selatan telah bersedia untuk berkongsi data, maklumat dan sampel. Bagaimanapun, beliau berkata larangan perjalanan menyukarkan penghantaran sampel itu ke luar negara.

 

 

Kes pertama varian Covid-19 Omicron telah dikesan di Malaysia

Menteri Kesihatan Khairy Jamalluddin

 

                  PETALING JAYA: Kes pertama varian Covid-19 Omicron telah dikesan di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sampel positif varian Omicron dikesan pada Khamis (2 Dis) membabitkan pelajar universiti swasta Afrika Selatan berusia 19 tahun di Ipoh yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 Nov.

Beliau berkata pelajar itu melakukan ujian RT-PCR sebaik tiba di KLIA.

“Pelajar itu menjalani kuarantin wajib di kediaman yang disediakan universiti di Ipoh.

“Sepanjang perjalanan dari KLIA ke Ipoh, sebuah bas khas disediakan oleh pihak universiti,” katanya pada sidang media pada Jumaat (3 Dis).

 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menambah bahawa pelajar itu diletakkan di bawah kuarantin wajib bersendirian selama 10 hari dan dibenarkan meninggalkan kuarantin pada 29 Nov.

Semasa dalam kuarantin, Khairy Jamaluddin berkata, pelajar itu tidak menunjukkan sebarang simptom dan telah divaksin sepenuhnya dengan vaksin Pfizer pada 29 Sept lepas.

Beliau berkata, kenalan rapat pelajar itu – lima orang yang berada di dalam bas, termasuk pemandu – juga menjalani ujian Covid-19 dan kuarantin wajib.

 

“Ujian pertama dan kedua ke atas semua kenalan rapat kembali dengan keputusan negatif,” katanya.

 

Bagaimanapun, memandangkan kes itu dikesan pada 19 Nov sebelum pengumuman WHO mengenai varian Omicron dibuat pada 21 Nov, Khairy berkata kenalan rapat itu serta dua rakan serumah pelajar itu dan seorang pekerja universiti akan menjalani ujian RT-PCR pada Jumaat.

Khairy menambah, semakan ke atas aplikasi MySejahtera juga mendapati pelajar itu mematuhi kuarantin di rumah dan tidak meninggalkan venue sepanjang tempoh itu.

 

 

KKM tingkat pengawasan genomik di pintu masuk antarabangsa

 

Seorang penumpang (L) memakai peralatan pelindung diri (PPE) beratur untuk mendaftar masuk bagi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 29 November 2021.

Mohd Rasfan | AFP | Getty Images

 

SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan pengawasan genomik di pintu-pintu masuk antarabangsa untuk memastikan kewujudan varian baharu Omicron dapat dikesan dengan cepat.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata setakat ini kerajaan telah berjaya meningkatkan kapasiti analisis jujukan genom penuh kepada 1,500 sampel sebulan.

“Dengan adanya varian membimbangkan (VOC) ini saya akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk tambah lagi peruntukan agar kita dapat tingkatkan lagi kapasitinya bagi melaksanakan survelan genomik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas COVID-19 Institut Kesihatan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata jujukan genom penuh itu penting kerana melalui cara tersebut pihaknya akan dapat mengesan jenis varian yang telah berada di Malaysia.

“Melalui jujukan genom penuh, kita mengesan varian Delta telah ada di Malaysia dan analisis itu juga penting sekiranya varian baharu, Omicron juga wujud di Malaysia.

“Setakat hari ini melalui KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi yang membentuk konsortium bagi meningkatkan kapasiti penjujukan genom COVID-19, belum lagi menerima laporan mengenai varian Omicron di Malaysia,” katanya.

 

 

Leave a Reply