Skip to main content
Berita Dunia

Teknologi Tanaman Kultur Tisu

By 25/04/2022No Comments
Kaedah kultur tisu guna sistem perendaman sementara Setis hasilkan tanaman enam kali ganda berbanding teknik biasa. - Foto BERNAMA

Kaedah kultur tisu guna sistem perendaman sementara Setis hasilkan tanaman enam kali ganda berbanding teknik biasa. – Foto BERNAMA

 

MERAIH hasil tanaman sehingga enam kali ganda berbanding teknik tanaman biasa tidak mustahil lagi bagi petani dengan menggunakan teknologi kultur tisu.

Dengan menggunakan kaedah pembiakan mikro (micropropogation) membolehkan pengeluaran anak benih tanaman dilakukan secara komersil sehingga berupaya mencatat pulangan bernilai jutaan ringgit.

Menerusi kaedah ini anak benih untuk tanaman tertentu boleh menjana kuantiti besar untuk tempoh lebih singkat dan cepat dengan mewujudkan klon terpilih serta terbaik untuk dibangunkan bagi tujuan perladangan.

Malah, ia membolehkan keseragaman penghasilan anak pokok seperti usia dan kualiti pokok kerana ia penting bagi mendapatkan hasil tuaian yang maksimum.

Menariknya, selain membantu menghasilkan tanaman spesies ladang, teknik ini banyak digunakan untuk menyelamatkan spesies terancam, sekali gus membantu mengekalkan biodiversiti negara.

Lebih 70 protokol kultur tisu dibangunkan

Menurut Ketua Program Bioteknologi, Bahagian Bioteknologi Perhutanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Nor Hasnida Hassan, teknik ini turut membantu pengusaha bidang farmaseutikal dan kosmetik mendapat manfaatnya kerana sumber bahan mentah lebih terjamin dan tidak dituai di hutan secara berleluasa.

Nor Hasnida berkata, sejak penubuhan makmal kultur tisu pada 1984 dan dikembangkan dengan penubuhan pusat biousahawan bioteknologi (CBB), lebih dari 70 protokol kultur tisu pelbagai spesies sudah dibangunkan.

Katanya, teknologi bioreaktor dan sistem RITA®️ serta lima SETIS™ (rendaman sementara)️ turut dibangunkan bagi meningkatkan hasil tanaman dan bahan mentah spesies perladangan hutan, herba, hiasan dan pelbagai spesies tanaman.

“Teknologi kultur tisu dan bioreaktor yang dibangunkan ini turut dilesenkan atau dipindahkan kepada biousahawan atau syarikat kultur tisu yang lain,” katanya.

Teknik kultur tisu

Kultur tisu dibangunkan untuk penghasilan bahan tanaman menggunakan sistem tertutup, iaitu teknologi konvensional menggunakan media nutrisi separa pepejal dan sistem terbuka menggunakan media nutrisi cecair bagi teknik perendaman sementara RITA®️ dan SETIS™️.

“Bagaimanapun, teknik digunakan bergantung kepada kesesuaian dan keperluan spesies dibangunkan.

“Teknologi bioreaktor untuk kultur akar rerambut dan akar adventitious spesies herba turut dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata, teknik perendaman sementara SETIS™️ dan teknologi bioreaktor kultur akar rerambut adalah yang terkini dibangunkan dan dilihat sesuai bagi beberapa spesies herba serta tanaman hiasan bernilai komersial.

Justeru, fokus diberikan untuk pembangunan teknologi itu bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pemegang taruh.

Dr Nor Hasnida (kiri) bersama kakitangan FRIM di makmal kultur tisu. - Foto FRIM

Dr Nor Hasnida (kiri) bersama kakitangan FRIM di makmal kultur tisu. – Foto FRIM

“Teknik perendaman sementara ini juga membabitkan kos penyediaan lebih rendah kerana menggunakan media cecair berbanding kos media separa pepejal (menggunakan agar).

“Sebagai contoh, teknologi bioreaktor kultur akar rerambut Tongkat Ali dan kultur akar Kacip Fatimah boleh digunakan untuk penghasilan bahan mentah Tongkat Ali dan Kacip Fatimah tanpa penuaian akar asli dari hutan.

“Teknologi ini boleh digunakan untuk pengkomersialan dan mengurangkan populasi Tongkat Ali dan Kacip Fatimah dari hutan pupus,” katanya.

Bebas jangkitan bakteria, kulat

Berdasarkan kajian anak pokok kultur tisu dan kultur akar dibesarkan di makmal, bebas daripada jangkitan bakteria serta kulat.

“Namun, jika terdapat tanda jangkitan kulat dan bakteria, kita akan merawat menggunakan antibiotik serta racun kulat.

“Selain rawatan pada sampel, antibiotik juga boleh ditambah pada media nutrisi untuk perlindungan jangka masa panjang di dalam makmal,” katanya.

Mengenai kos dalam penghasilan tanaman yang menggunakan kaedah kultur tisu, kos penyediaan makmal adalah tinggi, iaitu di antara RM80,000 sehingga RM100,000 berbanding cara penanaman biasa.

Kos tinggi kerana ia membabitkan penggunaan mesin dan peralatan makmal tertentu.

“Namun, kos ini akan berkurangan sekiranya jumlah bahan tanaman dihasilkan berskala besar.

“Jadi, tidak hairan pengeluar utama dunia menggunakan teknologi moden ini dan terus berkembang kepada teknologi lebih canggih bagi menghasilkan bahan tanaman serta bahan mentah spesies berkepentingan,” katanya.

Sedia bengkel kultur tisu

Pegawai Penyelidik Pusat Biousahawan Bioteknologi, Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM, Dr Siti Suhaila Abd Rahman, berkata sebagai penyelidik menjadi tanggungjawab pihaknya supaya teknologi itu terus berkembang secara dinamik dan hasilnya terus meningkat.

Justeru, FRIM menyediakan bengkel pengkulturan tisu tumbuhan untuk memperkenalkan pengetahuan berkaitan teknologi itu.

Ketika ini Pusat Biousahawan Bioteknologi (CBB) FRIM melaksanakan pemindahan teknologi melalui bengkel teknik asas kultur tisu tumbuhan kepada sesiapa yang berminat.

“Ia adalah pemindahan teknologi lengkap bermula teknik persampelan daripada pokok induk, penyediaan media dan inisiasi pucuk di makmal sehingga pemindahan anak pokok serta penjagaan di nurseri.

Bengkel itu menyediakan pembelajaran secara teori serta amali.

Dr Siti Suhaila (kiri) bersama pegawai penyelidik. - Foto FRIM

Dr Siti Suhaila (kiri) bersama pegawai penyelidik. – Foto FRIM

“FRIM berbesar hati kerana beberapa peserta sudah menunjukkan perkembangan dalam perniagaan termasuk ada sudah membuka perniagaan sendiri dalam bidang pembekalan bahan tanaman.

“Dengan teknologi ini mereka boleh membuka syarikat berasaskan kultur tisu.

“Syarikat kultur tisu bertujuan menghasilkan bahan tanaman dan pembukaan nurseri kultur tisu,” katanya.

Info mengenai kultur tisu

• Teknik pembiakan mikro babitkan proses memisahkan sekelompok tisu kecil (eksplan) daripada haiwan atau tumbuhan.

• Eksplan diletakkan dalam medium nutrien sesuai dan steril (bebas kuman) bagi pertumbuhan anak pokok di dalam makmal.

• Hasilkan benih sama dengan pokok asal.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply